English Songs

Monday, 26 October 2015

Erti Kemajuan

Erti Kemajuan

Apa itu kemajuan? Secara umumnya terdapat pelbagai maksud yang menghuraikan tentang erti kemajuan. Namun secara khusus, kemajuan boleh diklasifikasikan kepada peningkatan atas apa yang telah kita miliki. Ia juga merupakan sesuatu perubahan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Inilah pengertian kepada sebuah kemajuan.

Perubahan kepada sesuatu yang lebih baik juga merupakan erti kemajuan kepada kita. Kita tidak boleh hanya mensyukuri atas apa yang kita miliki sekarang tanpa berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Sikap masyarakat Melayu khususnya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Saya bercakap bukan soal perkauman tetapi saya juga bangsa Melayu yang dilahirkan dengan adat resam dan gaya hidup kemelayuan. Tetapi saya juga tidak diajar untuk sentiasa redha dan mensyukuri atas apa yang dimiliki sekarang. Tetapi saya diajar dari kecil untuk sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini dan sentiasa berusaha untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik. Saya dari kecil tinggal di penempatan yang ramai bangsa Tionghoa dan sentiasa mempelajari dan melihat cara hidup masyarakat Tionghoa dari segi budaya, perayaan dan sebagainya. Perkara paling penting yang dapat saya pelajari dari mereka ialah sifat rajin yang telah di didik sejak kecil lagi. Malah tidak hairan jika saya rapat dengan kawan-kawan Cina sejak sekolah menengah. Kemajuan untuk mengubah hidup terutamanya dengan mendapat pendidikan yang lebih baik dapat membantu seseorang untuk mengubah hidupnya. Jika seseorang itu dilahirkan dalam kalangan keluarga susah, tidak semestinya dia akan susah selamanya dengan syarat dia berani untuk mengubah hidupnya.

Kemajuan juga boleh diklasifikasikan sebagai kemajuan dari segi teknologi. Ini merupakan kemajuan yang selalu diuar-uarkan bukan sahaja kerajaan Malaysia malahan negara dari seluruh dunia. Dalam meniti arus kemajuan, kita tidak boleh sesekali ketinggalan terutamanya dari segi teknologi. Kemajuan dari segi teknologi telah membawa pelbagai perubahan positif kepada kita. Teknologi memudahkan kehidupan kita seharian. Misalnya telefon bimbit yang telah menjadi keperluan kepada semua orang tidak kira kaya atau miskin, muda atau tua. Maka tidak hairanlah kanak-kanak yang masih bersekolah rendah sudah mempunyai telefon bimbit malah ada yang lebih canggih dan moden. Keadaan ini sangat berbeza ketika saya masih bersekolah. Ketika saya bersekolah menengah barulah saya berjinak-jinak dengan telefon. Itupun digunakan untuk menelefon dan menghantar sistem pesanan ringkas sahaja. Tidak ada aksesori yang canggih ketika itu. Kemajuan semakin lama menjadi semakin rancak terutamanya kemajuan dalam sesebuah negara. Negara-negara maju misalnya sentiasa menduduki kedudukan yang tinggi dalam penciptaan teknologi moden sebaliknya negara-negara membangun hanya menjadi pengikut arus kemajuan.

Kita tidak akan mendapat kemajuan dalam diri kita jika bukan kita yang memulakan dahulu. Nasib kita tidak dapat diubah jika bukan kita yang mengubahnya. Jangan sesekali kita mempunyai sifat pasrah dan menyerah dalam kamus hidup kita. Tidak ada makna terlambat dalam kamus kehidupan dengan syarat kita sentiasa berusaha dan tetap berusaha. Sekali kita melangkah, kita tetap akan terus melangkah untuk meneruskan kehidupan kita. Jangan sesekali berhenti berusaha. Manusia yang berhenti berusaha ialah manusia yang telah gagal dalam hidupnya. Tetaplah berusaha walaupun sedikit. Ia lebih baik dari kita berhenti berusaha langsung. Kerana satu kemajuan dalam hidup kita sahaja mampu mengubah seluruh kisah hidup kita.

“Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup.'Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dunia moden adalah dunia perlumbaan. Yang malas akan ketinggalan. Cuma yang berusaha akan berjaya.'Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik. - Larry Bielat. 

Saya tidak kalah apabila saya berada di bawah. Saya hanya kalah sekiranya saya tidak bangun semula dari bawah. - Dr. Shukri Abdullah.

No comments:

Post a Comment