English Songs

Monday, 26 October 2015

Persefahaman Kaum, Kekuatan Negara

Persefahaman Kaum, Kekuatan Negara

Ingatkah kita pada peristiwa hitam yang telah meragut beratus-ratus nyawa yang tidak berdosa? Peristiwa yang telah membawa negara kepada pengisytiharan darurat. Peristiwa yang sepatutnya tidak berlaku semasa negara telah mencapai kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1969 telah merobek luka yang dalam terutamanya pada generasi yang lahir pada zaman itu. Walaupun pada zaman itu saya belum dilahirkan, tetapi melalui pembelajaran, cerita-cerita daripada ibu bapa telah memberikan kesimpulan bahawa keadaan negara yang bergolak serta pertelingkahan antara kaum berkaitan hak-hak keistimewaan masing-masing tidak memberi sebarang penyelesaian masalah. Sifat tamak yang timbul pada diri sendiri serta tiada sifat bertolak ansur telah mencalar perpaduan masyarakat Malaysia. Dalam soal ini, tiada siapa yang menang dan juga tiada siapa yang kalah. Sekali kita mempersetujui perjanjian untuk berkongsi hak bersama-sama, selagi itu kita perlu mengotakan janji kita.

Saya teringat semasa saya bersekolah menengah, saya memang mempunyai ramai kawan Cina dan jangan terkejut jika saya cakap, saya sebenarnya lebih rapat dengan kawan-kawan Cina kerana sifat mereka yang baik dan tiada sifat hasad dengki. Saya juga suka berkawan dengan mereka kerana sifat mereka yang rajin dalam pelajaran. Tetapi apabila saya menyambung pengajian di universiti, sifat perkauman semakin hari semakin ketara. Hal ini demikian kerana jurang antara kaum yang telah ditetapkan oleh pihak universiti terutamanya dari segi penginapan pelajar. Saya melihat ini dari segi persepsi negatif kerana bermula dari penginapan pelajar, ia menular kepada sekelompok kaum. Selain itu, pada pendapat saya, tidak salahnya jika kaum lain ingin mempelajari budaya daripada bangsa lain. Jika kaum lain menyambut perayaan, tidak salahnya kita menyertai mereka sekali. Dengan mempelajari budaya bangsa lain, ia membuka minda kita supaya berfikiran terbuka dan memahami budaya bangsa lain. Selain itu, tindakan pihak universiti yang mewajibkan sesetengah jurusan untuk mengambil bahasa lain terutamanya bahasa Mandarin telah membuka ruang yang lebih luas kepada bangsa lain untuk mempelajari bahasa asing. Hal ini merupakan tindakan yang bijak kerana tiada salahnya bangsa lain terutamanya bangsa Melayu untuk mempelajari bahasa lain kerana ia sebagai penghargaan kepada bangsa Cina, India dan lain-lain kerana kerelaan mereka untuk mempelajari bahasa Kebangsaan. Semoga usaha ini mendapat persetujuan dan kerelaan daripada semua bangsa. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, kita hendaklah sentiasa berfikiran terbuka. Kita telah berjanji untuk bersama-sama dalam membangunkan negara, dan dalam masa yang sama kita juga berjanji untuk menghormati agama dan bangsa lain.

Persefahaman dalam kalangan kaum juga telah menarik perhatian mantan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Muhyiddin Yassin yang meminta rakyat supaya memelihara tradisi persefahaman dan toleransi antara kaum yang menjadi kunci kekuatan negara selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman. Jelaslah kita bahawa selama ini keadaan negara yang masih kekal aman adalah disebabkan semangat dan tolerasi daripada semua kaum. Jika runtuhnya semangat perpaduan dalam kalangan kaum, maka akan runtuhlah sebuah negara yang sudah merdeka selama 58 tahun dari lebih 400 tahun negara kita dijajah. Jika dihitung tahun negara kita telah merdeka, sangat tiada nilainya berbanding dengan masa negara kita dijajah oleh negara-negara Barat. Jangan sesekali kita biarkan sifat alpa nenek moyang kita dahulu berulang kembali dengan versi yang baru iaitu meruntuhkan sifat perpaduan kaum yang selama ini kita cuba pertahankan.

Apakah maknanya simpati dan kesedihan kita, jika nikmat yang dirasai di negara sendiri tidak kita hargai.”

Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.

..Kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza dalam politik negara, tetapi apabila kita berhadapan dengan kemungkinan orang lain cuba menjajah kita, kita patut rapatkan barisan, itulah makna patriotisma. Kita rapatkan barisan dan lupakan tentang perselisihan faham antara kita supaya dapat menumpukan kepada segala usaha untuk mempertahankan negara…

…bukan kecil tugas kita; meneruskan perjuangan kemerdekaan kita; kerana rupanya selain kemerdekaan; mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara…

Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Malaysia (1981-2005)

No comments:

Post a Comment