English Songs

Thursday, 19 November 2015

Cantik

Apakah definisi cantik menurut anda? Kurus, kulit putih, hidung mancung, bibir merah merekah? Atau kombinasi dari kesemuanya? Cantik hampir di dominasikan untuk kecantikan fisik. Walaupuan ada sesetengah orang mengatakan yang disebut cantik itu dari segi kecantikan dalaman, tetapi kecantikan dari segi luaran masih menjadi keutamaan dalam mengukur nilai kecantikan seseorang itu. Orang akan mengagumi seseorang itu cantik jika penampilannya ibarat seorang model, mempunyai tubuh yang kurus, tinggi, langsing, putih. Demikian hebatnya maksud kecantikan yang dinilai kepada seseorang, menjadikan dirinya obses dalam menurunkan berat badan malah ada sesetengahnya yang sanggup mengeluarkan belanja yang beribu-ribu untuk melakukan pembedahan plastik untuk mencantikkan lagi dirinya. Tetapi sunggukah definisi cantik itu sedemikian?

Cantik itu tidak hanya pada penampilan luaran sahaja. Kecantikan seseorang itu tidak hanya dilihat pada penampilan fisik sahaja. Tetapi lebih dari itu, Wanita cantik ialah wanita yang menjadi dirinya sendiri. Mungkin kita sering mendengar pelbagai informasi mengenai kecantikan seseorang wanita itu. Malah belbagai iklan dan akhbar yang menggembar-gemborkan kecantikan wanita itu adalah yang bekulit putih, berhidung mancung, bertubuh langsing. Padahal wanita dilahirkan dengan keistimewaan dan keunikan tersendiri. Apa yang penting dari kita ialah keyakinan untuk menjadi diri sendiri. Definisi cantik itu memang subjektif, bergantung kepada individu. Tetapi ada beberapa hal yang membuatkan orang-orang mengakui bahawa dirinya cantik. Beberapa tanda yang menunjukkan bahawa seseorang wanita itu cantik sebenarnya.

1. Mempunyai semangat yang tinggi untuk megejar cita-cita

Seseorang wanita yang cantik itu mempuyai semangat yang tinggi untuk mengejar impiannya. Keberanian dalam menyalurkan minat serta kesungguhan dalam menjadikan impian itu realiti mencerminkan bahawa dirinya bukan wanita lemah yang tidak takut pada apa jua risiko yang bakal berlaku. Semangat untuk mengejar impian ialah merupakan kecantikan yang sebenarnya.

2. Wanita yang berdikari

Sebenarnya bagi lelaki, mereka tidak hanya menginginkan kekasihnya seorang wanita yang cantik semata-mata, malah apa yang mereka lebih inginkan ialah seorang wanita yang mempunyai sifat berdikari serta bijak. Tidak ada gunanya seseorang wanita itu cantik, tetapi tidak bijak malah terlampau bergantung kepada orang lain.

3. Wanita yang mempunyai pemikiran terbuka

Seseorang wanita itu dianggap cantik apabila dia mempunyai wawasan yang luas, dan mampu menghormati pendapat orang lain tanpa harus menghakimi serta mengkritik dengan cara yang tidak sopan. Dia tidak hanya menggap dirinya sahaja yang benar, malah menerima pandangan daripada orang lain. Wanita seperti inilah yang disenangi oleh masyarakat sekelilingnya.

4. Wanita yang murah senyumannya

Senyum adalah hal yang paling kita lakukan untuk terlihat cantik. Ketika kita tersenyum, kita akan terlihat bahagia, malah orang lain yang melihatnya juga bahagia kerana kecantikan yang terpancar di sebalik senyuman itu.

Kecantikan tidak hanya diukur pada kecantikan fisik sahaja. Apa yang menjadi seseorang wanita itu cantik adalah kerana keperibadian dan sifatnya sahaja. 

Hilang


Hilang? Hanya memerlukan satu patah perkataan sahaja, tetapi membawa maksud yang mendalam kepada diri kita terutamanya bagi seseorang yang pernah mengalaminya sendiri. Adakah kehilangan memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita? Adakah ia merupakan sesuatu hal yang menyakitkan apabila berlaku sesuatu kehilangan. Tidak kira apa jua kehilangan sama ada kehilangan benda berharga, orang terpenting, kehilangan pekerjaan, kehilangan harta, kehilangan kesihatan, kehilangan cinta dan kasih-sayang malah ada yang kehilangan harapan. Kehilangan merupakan sesuatu yang istimewa yang asalnya ada pada kita tetapi sudah tiada bersama kita. Kehilangan itu sangat menyakitkan yang tidak dapat digambarkan oleh kita jika tidak mengalaminya sendiri. Kadang kala kehilangan juga dapat membuat kehidupan kita bahagia seperti hilangnya kesakitan, musuh, beban masalah dan sebagainya.  

Pada dasarnya, ketika manusia kehilangan sesuatu yang istimewa ia akan mengalami kegelisahan, stress atau mungkin depresi. Hal ini merupakan yang wajar kerana merupakan fitrah manusia. Tapi, kita janganlah membiarkan  dirinya mengelami keluh kesah kerana kehilangan sesuatu kerana ia akan menyebabkan sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Apa yang penting ialah kita menerimanya dengan hati yang terbuka.  

Kehilangan yang paling berat yang terpaksa dipikul oleh seseorang itu ialah kehilangan orang yang dicintai. Kehilangan yang menyebabkan kita menitiskan air mata atas apa yang berlaku. Kehilangan yang semestinya tidak dapat diterima oleh akal fikiran kita apabila orang yang sentiasa mendampingi kita selama ini telah pergi jua. 

Saban tahun kita didedahkan oleh berita 'hilang anak' di dada-dada akhbar malah di media elektronik. Kehilangan yang mengejut ini sebenarnya tidak boleh diterima oleh akal fikiran kita. Anak yang selama ini dihasuh dengan penuh kasih- sayang telah pergi jua tanpa jejak. Kehilangan ini merupakan sesuatu yang tragis kerana kehilangannya menjadi tanda tanya. Kita tidak tahu sama ada 'anak itu' masih hidup atau kita, masih bernyawa atau tidak. Sebenarnya tunjang kepada permasalahan ini adalah kerana kelalaian ibu bapa sendiri dalam memantau anak-anak mereka. 

Sesetengah ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka keluar rumah untuk ke kedai, taman permainan tanpa ada orang yang lebih dewasa sebagai peneman merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa kini semestinya harus tahu bahawa zaman moden ini tidak sama seperti zaman mereka kerana mereka bebas untuk keluar ke mana-mana sahaja tanpa perlu memikirkan keselamatannya. Zaman moden kini makin 'gila'. Mereka sanggup membuat apa-apa sahaja untuk menculik anak-anak ini demi mendapat keuntungan. 

Beberapa puluh tahun sebelum ini, penculik hanya menculik anak-anak ini untuk mendapat wang tebusan dan semestinya mereka cuba untuk tidak mencederakan anak-anak yang mereka culik ini. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, kita digemparkan dengan berita mengenai penculikan anak-anak untuk mendapatkan organ dalaman mereka adalah merupakan sesuatu yang tidak wajar. Kanak-kanak ini diculik untuk mendapatkan organ mereka dan menjualnya di selatan Thailand. Tubuh kanak-kanak yang tidak mempunyai organ ini kemudiannya akan dibuang di sesuatu tempat. 

Hal ini sangat menyedihkan kerana ibu bapa bukan sahaja kehilangan nyawa anaknya malah anak-anak ini dilakukan dengan tidak wajar dengan mengambil organ mereka. Hal ini merupakan peringatan kepada ibu bapa supaya sentiasa berwaspada selalu kerana terdapat pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Mereka sentiasa perlu mengingati bahawa zaman moden kini tidak sama seperti 10 atau 20 tahun dahulu kerana manusia kini makin 'gila' dan sanggup melakukan apa jua demi mengaut keuntungan.

Kehilangan ini mengajarkan kita erti seorang hamba dan kekuatan”.

"Kehilangan ini bukanlah melemahkan, malah menguatkan". 

Monday, 26 October 2015

Erti Kemajuan

Erti Kemajuan

Apa itu kemajuan? Secara umumnya terdapat pelbagai maksud yang menghuraikan tentang erti kemajuan. Namun secara khusus, kemajuan boleh diklasifikasikan kepada peningkatan atas apa yang telah kita miliki. Ia juga merupakan sesuatu perubahan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Inilah pengertian kepada sebuah kemajuan.

Perubahan kepada sesuatu yang lebih baik juga merupakan erti kemajuan kepada kita. Kita tidak boleh hanya mensyukuri atas apa yang kita miliki sekarang tanpa berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Sikap masyarakat Melayu khususnya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Saya bercakap bukan soal perkauman tetapi saya juga bangsa Melayu yang dilahirkan dengan adat resam dan gaya hidup kemelayuan. Tetapi saya juga tidak diajar untuk sentiasa redha dan mensyukuri atas apa yang dimiliki sekarang. Tetapi saya diajar dari kecil untuk sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini dan sentiasa berusaha untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik. Saya dari kecil tinggal di penempatan yang ramai bangsa Tionghoa dan sentiasa mempelajari dan melihat cara hidup masyarakat Tionghoa dari segi budaya, perayaan dan sebagainya. Perkara paling penting yang dapat saya pelajari dari mereka ialah sifat rajin yang telah di didik sejak kecil lagi. Malah tidak hairan jika saya rapat dengan kawan-kawan Cina sejak sekolah menengah. Kemajuan untuk mengubah hidup terutamanya dengan mendapat pendidikan yang lebih baik dapat membantu seseorang untuk mengubah hidupnya. Jika seseorang itu dilahirkan dalam kalangan keluarga susah, tidak semestinya dia akan susah selamanya dengan syarat dia berani untuk mengubah hidupnya.

Kemajuan juga boleh diklasifikasikan sebagai kemajuan dari segi teknologi. Ini merupakan kemajuan yang selalu diuar-uarkan bukan sahaja kerajaan Malaysia malahan negara dari seluruh dunia. Dalam meniti arus kemajuan, kita tidak boleh sesekali ketinggalan terutamanya dari segi teknologi. Kemajuan dari segi teknologi telah membawa pelbagai perubahan positif kepada kita. Teknologi memudahkan kehidupan kita seharian. Misalnya telefon bimbit yang telah menjadi keperluan kepada semua orang tidak kira kaya atau miskin, muda atau tua. Maka tidak hairanlah kanak-kanak yang masih bersekolah rendah sudah mempunyai telefon bimbit malah ada yang lebih canggih dan moden. Keadaan ini sangat berbeza ketika saya masih bersekolah. Ketika saya bersekolah menengah barulah saya berjinak-jinak dengan telefon. Itupun digunakan untuk menelefon dan menghantar sistem pesanan ringkas sahaja. Tidak ada aksesori yang canggih ketika itu. Kemajuan semakin lama menjadi semakin rancak terutamanya kemajuan dalam sesebuah negara. Negara-negara maju misalnya sentiasa menduduki kedudukan yang tinggi dalam penciptaan teknologi moden sebaliknya negara-negara membangun hanya menjadi pengikut arus kemajuan.

Kita tidak akan mendapat kemajuan dalam diri kita jika bukan kita yang memulakan dahulu. Nasib kita tidak dapat diubah jika bukan kita yang mengubahnya. Jangan sesekali kita mempunyai sifat pasrah dan menyerah dalam kamus hidup kita. Tidak ada makna terlambat dalam kamus kehidupan dengan syarat kita sentiasa berusaha dan tetap berusaha. Sekali kita melangkah, kita tetap akan terus melangkah untuk meneruskan kehidupan kita. Jangan sesekali berhenti berusaha. Manusia yang berhenti berusaha ialah manusia yang telah gagal dalam hidupnya. Tetaplah berusaha walaupun sedikit. Ia lebih baik dari kita berhenti berusaha langsung. Kerana satu kemajuan dalam hidup kita sahaja mampu mengubah seluruh kisah hidup kita.

“Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup.'Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dunia moden adalah dunia perlumbaan. Yang malas akan ketinggalan. Cuma yang berusaha akan berjaya.'Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik. - Larry Bielat. 

Saya tidak kalah apabila saya berada di bawah. Saya hanya kalah sekiranya saya tidak bangun semula dari bawah. - Dr. Shukri Abdullah.

Persefahaman Kaum, Kekuatan Negara

Persefahaman Kaum, Kekuatan Negara

Ingatkah kita pada peristiwa hitam yang telah meragut beratus-ratus nyawa yang tidak berdosa? Peristiwa yang telah membawa negara kepada pengisytiharan darurat. Peristiwa yang sepatutnya tidak berlaku semasa negara telah mencapai kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1969 telah merobek luka yang dalam terutamanya pada generasi yang lahir pada zaman itu. Walaupun pada zaman itu saya belum dilahirkan, tetapi melalui pembelajaran, cerita-cerita daripada ibu bapa telah memberikan kesimpulan bahawa keadaan negara yang bergolak serta pertelingkahan antara kaum berkaitan hak-hak keistimewaan masing-masing tidak memberi sebarang penyelesaian masalah. Sifat tamak yang timbul pada diri sendiri serta tiada sifat bertolak ansur telah mencalar perpaduan masyarakat Malaysia. Dalam soal ini, tiada siapa yang menang dan juga tiada siapa yang kalah. Sekali kita mempersetujui perjanjian untuk berkongsi hak bersama-sama, selagi itu kita perlu mengotakan janji kita.

Saya teringat semasa saya bersekolah menengah, saya memang mempunyai ramai kawan Cina dan jangan terkejut jika saya cakap, saya sebenarnya lebih rapat dengan kawan-kawan Cina kerana sifat mereka yang baik dan tiada sifat hasad dengki. Saya juga suka berkawan dengan mereka kerana sifat mereka yang rajin dalam pelajaran. Tetapi apabila saya menyambung pengajian di universiti, sifat perkauman semakin hari semakin ketara. Hal ini demikian kerana jurang antara kaum yang telah ditetapkan oleh pihak universiti terutamanya dari segi penginapan pelajar. Saya melihat ini dari segi persepsi negatif kerana bermula dari penginapan pelajar, ia menular kepada sekelompok kaum. Selain itu, pada pendapat saya, tidak salahnya jika kaum lain ingin mempelajari budaya daripada bangsa lain. Jika kaum lain menyambut perayaan, tidak salahnya kita menyertai mereka sekali. Dengan mempelajari budaya bangsa lain, ia membuka minda kita supaya berfikiran terbuka dan memahami budaya bangsa lain. Selain itu, tindakan pihak universiti yang mewajibkan sesetengah jurusan untuk mengambil bahasa lain terutamanya bahasa Mandarin telah membuka ruang yang lebih luas kepada bangsa lain untuk mempelajari bahasa asing. Hal ini merupakan tindakan yang bijak kerana tiada salahnya bangsa lain terutamanya bangsa Melayu untuk mempelajari bahasa lain kerana ia sebagai penghargaan kepada bangsa Cina, India dan lain-lain kerana kerelaan mereka untuk mempelajari bahasa Kebangsaan. Semoga usaha ini mendapat persetujuan dan kerelaan daripada semua bangsa. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, kita hendaklah sentiasa berfikiran terbuka. Kita telah berjanji untuk bersama-sama dalam membangunkan negara, dan dalam masa yang sama kita juga berjanji untuk menghormati agama dan bangsa lain.

Persefahaman dalam kalangan kaum juga telah menarik perhatian mantan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Muhyiddin Yassin yang meminta rakyat supaya memelihara tradisi persefahaman dan toleransi antara kaum yang menjadi kunci kekuatan negara selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman. Jelaslah kita bahawa selama ini keadaan negara yang masih kekal aman adalah disebabkan semangat dan tolerasi daripada semua kaum. Jika runtuhnya semangat perpaduan dalam kalangan kaum, maka akan runtuhlah sebuah negara yang sudah merdeka selama 58 tahun dari lebih 400 tahun negara kita dijajah. Jika dihitung tahun negara kita telah merdeka, sangat tiada nilainya berbanding dengan masa negara kita dijajah oleh negara-negara Barat. Jangan sesekali kita biarkan sifat alpa nenek moyang kita dahulu berulang kembali dengan versi yang baru iaitu meruntuhkan sifat perpaduan kaum yang selama ini kita cuba pertahankan.

Apakah maknanya simpati dan kesedihan kita, jika nikmat yang dirasai di negara sendiri tidak kita hargai.”

Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.

..Kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza dalam politik negara, tetapi apabila kita berhadapan dengan kemungkinan orang lain cuba menjajah kita, kita patut rapatkan barisan, itulah makna patriotisma. Kita rapatkan barisan dan lupakan tentang perselisihan faham antara kita supaya dapat menumpukan kepada segala usaha untuk mempertahankan negara…

…bukan kecil tugas kita; meneruskan perjuangan kemerdekaan kita; kerana rupanya selain kemerdekaan; mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara…

Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Malaysia (1981-2005)